Ahad, 17 Julai 2011

Menghijau bekas lombong

KEHIJAUAN alam dapat dirasai sepenuhnya ketika berada di Pusat Penghutanan Semula Tanah Lombong (TTAC), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Bidor, Perak.

Kawasan bekas lombong berusia lebih kurang 40 tahun terletak di Stesen Penyelidikan FRIM itu kemudiannya menjadi ladang hutan, sekali gus muncul alternatif serampang dua mata.

Persekitaran yang nyaman dan jauh daripada hiruk-pikuk kota membuatkan kewujudan lokasi berkenaan amat bermanfaat.

Penanaman pokok spesies hutan bukan saja bertindak sebagai penyerap karbon malah dapat menyerap elemen berpotensi toksik dari tanah.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan FRIM, Dr Ang Lai Hoe, di samping mengindahkan landskap bekas lombong, penubuhan ladang hutan itu turut memberikan faedah dalam aspek persekitaran, sosial dan ekonomi.

“Kewujudan ladang hutan memerlukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menyokong pertumbuhan pokok spesies hutan di kawasan bekas lombong yang panas serta ketandusan nutrien.

“Merangkumi kawasan seluas 121.4 hektar ladang ini antara contoh yang berjaya dan menjadi pusat penyelidikan serta rujukan terbaik,” katanya.

Sementara tujuan penubuhan TTAC adalah menyebarkan maklumat mengenai teknologi penghijauan, membangunkan kaedah kos efektif melalui penyelidikan untuk pemulihan bekas lombong timah.

Seterusnya, ia juga bertujuan meningkatkan pertumbuhan dan kepelbagaian biologi dirian pokok serta menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan dengan pihak berminat.

Sebahagian daripada bekas lombong yang telah dihijaukan dengan campuran spesies balak di antara tumbuhan semula jadi yang telah membentuk landskap baru di TTAC.

“TTAC mempunyai lebih kurang 10 spesies pokok balak yang bernilai komersial.

“Kajian perhutanan tani di sini menunjukkan tumbuhan herba seperti tongkat ali (eurycoma longifolia), mengkudu (morinda citrifolia) dan halia (zingiber officinale) boleh ditanam dengan jayanya di bawah dirian pokok.

“Spesies balak yang ditanam membentuk lapisan atas dengan lapisan pertengahan dan bawahan yang terdiri daripada lebih kurang 20 spesies pokok dan pokok renek yang disebarkan burung dan haiwan liar,” kata Ang.

Kini, iklim mikro termasuk suhu dan kelembapan dirian ladang hutan adalah hutan hujan sekunder.

Kolam lombong yang dikelilingi dirian pokok kini tidak sunyi lagi kerana menerima kunjungan pelbagai spesies burung.

Malah TTAC turut menyaksikan kewujudan haiwan lain seperti burung enggang, tupai, ayam hutan, harimau bintang, monyet dan ular senduk.

Tidak hairanlah keindahan pemandangan dan kicauan burung ketika Subuh menjadikan lokasi itu tumpuan pencinta alam.

“Satu kajian terbaru menunjukkan 64 spesies burung berbeza termasuk burung berhijrah adalah ‘tetamu’ TTAC.

“Ia juga antara pilihan lawatan lapangan penganjur persidangan, universiti dan pencinta alam,” kata Ang.

Penubuhan dan perkembangan TTAC turut mendapat sokongan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), agensi antarabangsa dalam pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta khidmat perundingan.

Antara aktiviti R&D yang menjadi tumpuan TTAC termasuk fitopemulihan elemen berpotensi toksik, penghutanan semula, kepelbagaian biodiversity dan pemuliharaan serta perhutanan tani.

TTAC turut menjadi pusat rujukan dalam penganjuran latihan untuk orang ramai dan lebih membanggakan, FRIM sudah berkecimpung dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam penghijauan tanah terbiar selama dua dekad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan