Mungkin tidak ramai yang sedar Rabu lepas, 8 Jun merupakan Hari Laut Sedunia. Jadi apa signifikan hari berkenaan di Malaysia. Mungkin ramai yang tidak ambil peduli.
Malah, saya percaya, abang-abang dan pakcik-pakcik nelayan juga tak ambil tahu mengenai Hari Laut Sedunia ini.
Ye lah, pada mereka, selagi ada rezeki, selagi itulah mereka akan membanting tulang mengaut apa saja yang ada demi sesuap nasi.
Namun perasan atau tidak, sumber laut kita semakin berkurangan saban hari.
Bagi yang menetap di bandar, pastinya mereka langsung tidak akan ambil pusing mengenai hal berkenaan.
Namun bagi nelayan, ia satu perkara yang amat merunsingkan kerana itulah sumber pencarian mereka dalam memberi keluarga makan dan menyekolahkan anak-anak mereka.
Bayangkan jika mereka keluar ke laut, pada awal pagi sebelum Subuh, dan pulang semula ke darat menjelang Maghrib namun tidak memperoleh hasil yang munasabah.
Dalam erti kata lain, pendapatan hari tu cukup untuk membeli beras sahaja. Bayaran bot dan awak-awak tidak dapat dilunaskan.
Apatah lagi untuk menabung. Anak-anak di universiti sudah mula menelefon mahukan duit untuk membeli buku dan belanja.
Apa usaha si ayah kalau hampir seminggu turun ke laut, hasilnya sama. Tidak lebih malah berkurangan.
Itulah sebab kita kena menghormati laut. Walaupun bukan hak kita secara khusus, kita kena jaga dan amalkan untuk tidak mencemarkannya jika berada di laut.
Saya pernah satu ketika dahulu menyertai pertandingan memancing di Kepulauan Spartly, di Lucornia utara.
Perjalanan ke sana sahaja sudah mengambil masa 24 jam. Penganjur ketika itu turut mengeluarkan arahan agar semua sampah dibawa balik ke Labuan dan jika ada mana-mana bot ditangkap membuang sampah ke laut, penyertaan mereka akan ditolak.
Jadi dari hari pertama hingga balik, 10 plastik sampah dapat kami kumpul dan memesan kepada krew bot untuk membuang sampah itu di Labuan.
Namun tidak sampai 15 minit kata-kata itu diucapkan, tiba-tiba kami nampak lebih kurang dua ke tiga plastik sampah terapung-apung di permukaan laut kira-kira sejam perjalanan lagi nak sampai ke Labuan.
Rupa-rupanya, krew bot kami mengambil jalan mudah membuang sampah itu ke laut kerana tidak mahu menyusahkan diri nak bawak 10 beg plastik ke darat.
Bayangkan jika mereka yang sering ke laut melakukan perkara itu, apa terjadi bagi mereka yang sesekali berada di laut?
Itu belum lagi perusahaan pinggiran sungai dan berdekatan pantai menyalurkan kumbahan yang tidak dirawat terus ke laut.
Tidak lagi dikira resort-resort di pulau-pulau peranginan yang memasang saluran kumbahan dan longkang buangan terus ke dalam laut.
Bayangkan jika ini tidak dikawal dan laut semakin tercemar, apakah nelayan-nelayan kita tadi akan terus dapat menikmati hasil tangkapan yang memberansangkan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan