Berikut merupakan keadaan langit yang akan berlaku sehingga akhir bulan Mac 2012 ini.
Zuhrah dan Musytari
Kedua-dua planet ini sudah semakin menjarakkan diri antara satu sama lain. Ia masih mudah kelihatan di ufuk barat, selepas Maghrib, dan boleh dilihat sehingga sekitar 9.30 atau 10 malam selepas ( 2jam atau 2 1/2 jam selepas terbenam matahar)
Untuk membezakan 2 planet ini amat mudah. Zuhrah adalah yang paling cerah berbanding Musytari. Kedudukannya juga boleh membezakan kedua-duanya. Zuhrah di sebelah kanan dan sedikit ke atas berbanding Musytari yang berada di sebelah kiri dan ke bawah.
Menjelang hujung bulan Mac ini, Zuhrah dan Musytari ini semakin berjauhan.
Marikh
Marikh masih kekal sebagai objek yang paling cerah di langit sebelah timur. Waktu untuk melihatnya ialah bila-bila masa sebaik sahaja matahari terbenam. Anda tidak mungkin dapat keliru dengan bintang-bintang lain kerana ia amat terang dan warna kemerahannya agak jelas.
Jika anda perhatikan berdekatan dengannya, sedikit sahaja di sebelah atas, ada sebuah bintang yang agak cerah bersinar warna putih. Itu ialah bintang Regulus, bintang yang paling cerah di dalam buruj Leo.
Marikh boleh kelihatan hampir sepanjang malam. Jika anda mencuba mencarinya pada sekitar tengah malam, ia akan berada tegak di atas kepala.
Namun, jika anda cuba mencarinya sekitar Subuh, ia sudahpun terbenam ketika itu. Namun, bagi yang rajin bertahajjud pada awal pagi, sekitar jam 4, ia masih boleh dilihat di ufuk sebelah barat.
Zuhal
Planet gelang Zuhal pula terbit sekitar jam 9 malam waktu KL, atau lebih kurang 1 1/2 jam selepas Maghrib ikut waktu tempatan masing-masing.
Saya cadangkan waktu yang sesuai untuk cuba mencari planet ini ialah sekitar jam 10 atau 11 malam, kerana pada ketika itu, ia sudah semakin tinggi di langit sebelah Timur.
Cuba, mungkin agak tricky untuk mengenalpastinya, kerana ia bersinar pada kecerahan yang cerah tetapi tidaklah sehebat Zuhrah atau Musytari.
Berdasarkan gamabarajah di bawah, jika anda mengarahkan mata ke sebelah langit timur pada jam 10.30 atau 11 malam, InsyaAllah anda akan terpandang beberapa buah objek yang cerah. 3 daripadanya pasti akan menarik perhatian anda
1. Ada sebuah bintang berwarna oren yang bersinar berseorangan di kiri. Nama bintang itu ialah Arcturus, dan kebetulan merupakan bintang ke-4 paling cerah di langit.
2. Ada 2 buah bintang yang membentuk garisan yang condong ke kanan sikit.
3. Tumpukan mata anda ke 2 buah 'bintang' itu. Yang di bawah akan bersinar sedikit terang berbanding yang di atas.
4. Yang di bawah itulah planet Zuhal!
5. Manakala, yang di atas, ialah sebuah bintang bernama Spica.
6. Anda juga mungkin perasan yang ketiga-tiga Arcturus, Zuhal dan Spica ini membentuk segitiga yang tidak sama panjang sisinya.
Kedudukan Zuhal berbanding Spica dan Arcturus ini tidak banyak berubah sehinggalah ke hujung bulan Mac ini.
Utarid
Planet Utarid ini tidak kelihatan kerana ia berada begitu hampir dengan matahari ketika ini.
Bulan.
Bulan akan melintasi Zuhrah dan Musytari pada hari-hari berikut;
24 Mac: Bulan sabit yang halus akan berada rendah di ufuk. Di atasnya pula terletak Musytari dan Zuhrah. Waktu paling sesuai ialah sekitar 1/2 jam selepas Maghrib.
25 Mac: Bulan semakin menghampiri Musytari dan sekali lagi membentuk segi tiga yang amat majestik di langit barat. Musytari akan berada ke sudut atas kiri sedikit, manakala Zuhrah berada ke sudut atas kanan (paling jauh dari Bulan). Waktu paling sesuai ialah sekitar 1/2 jam hingga 1 jam selepas Maghrib.
26 Mac: Bulan akan berada di antara Musytari dan Zuhrah! Ketiga-tiga objek ini membentuk garisan yang lurus! Cukup unik dan menarik untuk dirakam gambarnya!
27 Mac: Bulan sudah semakin tinggi. Zuhrah di bawahnya, manakala Musytari yang paling jauh. Perhatikan di sebelah kanan Bulan sebenarnya terletak gugusan bintang Seven Sisters yang amat popular itu!
28 Mac: Bulan semakin menjauhi Zuhrah dan Musytari. Kali ini di kirinya, akan kelihatan sebuah bintang kemerahan. Itu ialah bintang Aldebaran, di dalam buruj Taurus. Malah, jika anda menggunakan binokular, anda akan dapat lihat antara Aldebaran dan Bulan, akan terdapat sekumpulan bintang-bintang. Itu ialah sebuah lagi gugusan bintang yang dipanggil sebagai Hyades.
29 Mac: Di sebelah kiri Bulan, terletaknya buruj Orion.
31 Mac: Di sebelah kanan Bulan, akan kelihatan 2 buah bintang yang bersinar pada kecerahan yang agak sama. Itulah bintang Pollux dan Castor, yang terletak di dalam buruj Gemini.
rujukan
fenomena ini menerusi laman web Falak-Online, dan akan turut diheboh-hebohkan menerusi Facebook dan Twitter Falak Online.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan