Zuhrah lintasi matahari 6 Jun
Orang ramai di negara ini dijangka berpeluang
melihat fenomena lintasan planet zuhrah dengan matahari pada 6 Jun ini,
iaitu fenomena yang tidak akan berulang sehingga tempoh 105 tahun akan
datang.
Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti
Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr Baharrudin Zainal, berkata fenomena
unik itu membolehkan orang ramai melihat planet berkenaan pada saiz yang
sama dengan bumi pada jarak kedudukan 42 juta kilometer (km) dari bumi.Katanya, ia juga membolehkan orang ramai melihat planet zuhrah yang turut dikenali sebagai kejora dalam keadaan gelap.Beliau berkata, berdasarkan hitungan falak, sentuhan planet zuhrah
dengan matahari dijangka berlaku kira-kira jam 6.10 pagi dengan bentuk
planet itu mula kelihatan sepenuhnya di permukaan matahari kira-kira 18
minit kemudian.
“Pada waktu itu (6.10 pagi) hanya pemerhati di pantai timur Sabah dan
Sarawak berpeluang melihatnya. Bagi pencerap di Pantai Timur
Semenanjung, matahari hanya akan terbit jam 6.54 pagi.
“Ketika ini, planet sudah melata hampir lapan peratus daripada
keseluruhan laluan rentasannya di permukaan matahari. Kira-kira jam 9.30
pagi, planet zuhrah yang dilihat dalam bentuk ‘bulatan hitam’ sudah
berada di tengah laluan rentasannya. Planet zuhrah akan dilihat
meninggalkan sepenuhnya permukaan matahari kira-kira jam 12.50 tengah
hari,” katanya, di sini, semalam.
Baharrudin berkata, berikutan saiz planet zuhrah hampir sama dengan bumi, planet itu diumpamakan sebagai ‘saudara kembar bumi’.“Apabila kita melihat planet zuhrah dalam keadaan ‘bulatan hitam kecil’
sedang melintas di permukaan matahari, kita bagaikan melihat ‘begitulah
kerdilnya bumi yang kita huni’ dari kedudukan 42 juta km.
“Bagi masyarakat awam, fenomena lintasan planet zuhrah ini mengimbau
rasa takjub terhadap alam semesta yang harmoni sebagaimana dicatatkan
dalam al-Quran. Orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang
menyaksikan fenomena ini yang tidak akan berulang sehingga 105 tahun
akan datang,” katanya.
Beliau berkata, di Kuala Terengganu, orang awam boleh menyaksikan
fenomena itu mulai jam 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari pada 6 Jun
ini, di tempat letak kereta Lapang Sasar Memanah, UnisZA Kampus Gong
Badak, manakala di kawasan lain, orang ramai boleh mengunjungi pusat
cerapan di kawasan masing-masing.
“Fenomena ini hanya boleh dilihat menggunakan peralatan teleskop
lengkap dengan penebat khas matahari. Justeru, orang ramai boleh berada
di tempat cerapan yang diadakan pelbagai agensi di seluruh negara,”
katanya.
Fenomena itu berlaku apabila planet zuhrah yang mengambil masa selama
0.6 tahun (225 hari bumi) untuk mengelilingi matahari, akan berada pada
kedudukan sejajar dengan bumi dan matahari mengikut tempoh ulangan
berkenaan.
Penjajaran itu dinamakan ‘ijtimak dalaman’ dan disebabkan orbit
planet zuhrah dengan satah bumi-matahari condong pada sudut tertentu,
kedudukan satah matahari, bumi dan planet ketika penjajaran ini tidak
sentiasa sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan