Sabtu, 30 Jun 2012

Percubaan PMR 2012

    Pejam celik-pejam celik masa yang ditunggukan akhirnya tiba, Percubaan PMR Perak 2012. Diawalkan sedikit daripada tarikh asal yang sepatutnya minggu kedua bln Ogos. Geografi pada 1 Ogos ( dalam bulan puasa tu ).
    Macam mana anak2 dah bersedia, dah cukup ilmu di dada atau apepun takde. Bagaimana nak dapat markah yang baik dalam peperiksaan ini. Kalau anak2 bernasib baik boleh ke Teknik Menjawab Geografi PMR di SMK Convent pada 5 Julai...tapi hanya 8 orang satu sekolah.
    Macam manalah, kalau nak dapatkan markah yang baik dalam tempoh 1 bulan ni mmg susah tapi bukan mustahil..masalahnya bagaimana. Di sini cikgu berikan beberapa cara :
   1. Jawab semua soalan Percubaan PMR perak ( dah cari ke.. )
   2. Jawab semua soalan Solar perak ( 11 set.. )
   3. Jawab soalan tahun-tahun lepas
( Soalan Solar dan percubaan ada dalam blog cikgu )...jadi anak2 boleh dowload dan cuba jawab. Cikgu doakan semoga berjaya. Tunggu bahan teknik menjawab yang cikgu buat dan tajuk2 utama PMR 2012...

Khamis, 7 Jun 2012

Gerhana Bulan Separa & Transit Planet Zuhrah Melintasi Matahari

Sebelum ini rakyat Malaysia dan penduduk di kebanyakan negara telah pun menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh pada 10 Disember 2011 lepas. Pada minggu ini pula kita sekali lagi bakal dapat menyaksikan kejadian ‘Gerhana Bulan Separa’ (Partial Lunar Eclipse). Gerhana Bulan Separa seterusnya hanya akan berlaku semula pada April 2013.
.
Malahan sebagai bonus dari Allah SWT, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan dua fenomena falak minggu depan iaitu gerhana bulan separa yang dijangka berlaku pada Isnin, 4 Jun 2012 dan berpeluang untuk mencerap planet Marikh dan transit planet Zuhrah melintasi matahari pada Rabu, 6 Jun 2012.
.
Subhanallah!!! begitu agungnya ciptaan Allah SWT, sebagaimana Firman-Nya :
16:12
“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu. Dan bintang-bintang itu ditundukkan (untukmu) dengan perintah-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.”
(Surah An-Naĥl, ayat 12)
.
.

Fasa-Fasa Gerhana Bulan Separa

Pada 4 Jun 2012, kita akan berpeluang untuk menyaksikan Gerhana Bulan Separa apabila Bulan mulai terbit sehingga 9:18 p.m. Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama Bulan melintasi bayang Bumi seperti yang terdapat dalam Rajah di bawah:-
.
.
Gerhana pada 4 Jun ini akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada jam 04:48 pm (petang) waktu Malaysia. Walau bagaimanapun semasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat dilihat memandangkan Bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap dan kebetulan juga pada waktu itu Bulan masih belum terbit lagi dari ufuk.
Bulan mula memasuki bayang umbra Bumi (U1) pada jam 6:00 pm dan gerhana maksimum akan berlaku pada jam 7:04 pm. Fenomena gerhana tersebut hanya dapat disaksikan di Malaysia apabila Bulan mulai terbit pada jam 7:18 pm. Fenomena gerhana ini dapat disaksikan sehingga 8:07 pm apabila Bulan keluar sepenuhnya dari umbra Bumi (U4).
Gerhana masih terus berlaku sehingga jam 9:18 pm (malam) tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan kerana Bulan berada di kawasan bayang penumbra Bumi yang kurang gelap.
.
.

Jadual : Data Gerhana Bulan Separa Pada 4 Jun 2012

(sumber: http://eclipse.gsfc.nasa.gov/OH2012.html)

Fasa Keterangan Masa


P1 Bulan mula memasuki “Penumbra” 04:48 p.m.
U1 Bulan mula mengalami fasa gerhana separa 06:00 p.m.
Maksimum Bulan berada separa dalam “Umbra” 07:04 p.m.
U4 Bulan keluar sepenuhnya dari “ Umbra” 08:07 p.m.
P4 Bulan keluar dari “Penumbra” 09:18 p.m.
.
Catatan:
Umbra – Bahagian bayang yang sangat gelap
Penumbra – Bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah
.
.

.
Fasa pertama gerhana itu dijangka bermula pada 4.48 petang (waktu Malaysia) dan mencapai tahap kemuncak pada 7.04 malam. Gerhana dijangka berakhir pada 9.18 malam. Gerhana bulan separa akan dapat dilihat di seluruh negara terutama ketika waktu Maghrib.
Tidak kira di mana anda berada di Malaysia, sekiranya langit berada dalam keadaan cerah selepas Matahari terbenam, lihat ke arah Tenggara di mana Bulan berada. Anda berpeluang menyaksikan fenomena tersebut dengan mata kasar. Justeru, umat Islam disunat menunaikan Solat Sunat Gerhana Bulan (Solat Sunat Khusuf) dan paling afdalnya adalah secara berjemaah disertai dengan Khutbah Gerhana Bulan.
.
Inilah kebesaran Allah SWT yang mesti kita diam sesaat memikirkan sepertimana sabda Rasulullah SAW:
Sesungguhnya matahari dan bulan adalah tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah. Kedua-duanya tidak gerhana disebabkan matinya seseorang atau disebabkan lahirnya. Tetapi kedua-duanya merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah menakutkan hamba-hambanya. Apabila engkau melihat perkara tersebut hendaklah engkau solat dan berdoa sehingga gerhana itu hilang pada padangan.” (HR. Bukhari dari Abi Barkah).
.


Fenomena transit planet Zuhrah pula amat menarik. Pada hari Rabu ini bersamaan 6 Jun 2012, planet Zuhrah berada tepat di antara matahari dan bumi. Fenomena ini jarang berlaku dan transit seterusnya hanya akan berlaku 105 tahun akan datang.
Fenomena ini boleh dilihat menggunakan binokular atau teleskop yang dilapisi penapis suria. Planet Zuhrah akan kelihatan sebagai satu titik hitam kecil bergerak melintasi permukaan matahari. Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari.
.
Fenomena Gerhana dan Lintasan Planet Zuhrah ini mengimbau rasa takjub terhadap alam semesta yang harmoni sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
13:2
“Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).”
(Surah Ar-Rad, ayat 2)
.

Sumber:

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Persatuan Falak Syari Malaysia
BERNAMA

Sumber :http://shafiqolbu.wordpress.com ( boleh baca penuh disini )
.

Jumaat, 1 Jun 2012

Zuhrah lintasi matahari 6 Jun

Zuhrah lintasi matahari 6 Jun
    Orang ramai di negara ini dijangka berpeluang melihat fenomena lintasan planet zuhrah dengan matahari pada 6 Jun ini, iaitu fenomena yang tidak akan berulang sehingga tempoh 105 tahun akan datang.

     Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr Baharrudin Zainal, berkata fenomena unik itu membolehkan orang ramai melihat planet berkenaan pada saiz yang sama dengan bumi pada jarak kedudukan 42 juta kilometer (km) dari bumi.Katanya, ia juga membolehkan orang ramai melihat planet zuhrah yang turut dikenali sebagai kejora dalam keadaan gelap.Beliau berkata, berdasarkan hitungan falak, sentuhan planet zuhrah dengan matahari dijangka berlaku kira-kira jam 6.10 pagi dengan bentuk planet itu mula kelihatan sepenuhnya di permukaan matahari kira-kira 18 minit kemudian.

“Pada waktu itu (6.10 pagi) hanya pemerhati di pantai timur Sabah dan Sarawak berpeluang melihatnya. Bagi pencerap di Pantai Timur Semenanjung, matahari hanya akan terbit jam 6.54 pagi.

“Ketika ini, planet sudah melata hampir lapan peratus daripada keseluruhan laluan rentasannya di permukaan matahari. Kira-kira jam 9.30 pagi, planet zuhrah yang dilihat dalam bentuk ‘bulatan hitam’ sudah berada di tengah laluan rentasannya. Planet zuhrah akan dilihat meninggalkan sepenuhnya permukaan matahari kira-kira jam 12.50 tengah hari,” katanya, di sini, semalam.

Baharrudin berkata, berikutan saiz planet zuhrah hampir sama dengan bumi, planet itu diumpamakan sebagai ‘saudara kembar bumi’.“Apabila kita melihat planet zuhrah dalam keadaan ‘bulatan hitam kecil’ sedang melintas di permukaan matahari, kita bagaikan melihat ‘begitulah kerdilnya bumi yang kita huni’ dari kedudukan 42 juta km.

“Bagi masyarakat awam, fenomena lintasan planet zuhrah ini mengimbau rasa takjub terhadap alam semesta yang harmoni sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran. Orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan fenomena ini yang tidak akan berulang sehingga 105 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, di Kuala Terengganu, orang awam boleh menyaksikan fenomena itu mulai jam 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari pada 6 Jun ini, di tempat letak kereta Lapang Sasar Memanah, UnisZA Kampus Gong Badak, manakala di kawasan lain, orang ramai boleh mengunjungi pusat cerapan di kawasan masing-masing.

“Fenomena ini hanya boleh dilihat menggunakan peralatan teleskop lengkap dengan penebat khas matahari. Justeru, orang ramai boleh berada di tempat cerapan yang diadakan pelbagai agensi di seluruh negara,” katanya.

Fenomena itu berlaku apabila planet zuhrah yang mengambil masa selama 0.6 tahun (225 hari bumi) untuk mengelilingi matahari, akan berada pada kedudukan sejajar dengan bumi dan matahari mengikut tempoh ulangan berkenaan.

Penjajaran itu dinamakan ‘ijtimak dalaman’ dan disebabkan orbit planet zuhrah dengan satah bumi-matahari condong pada sudut tertentu, kedudukan satah matahari, bumi dan planet ketika penjajaran ini tidak sentiasa sama.